KAJI SELIDIK PENGURUSAN SUMBER DI SEKOLAH
Apa khabar semua, ini adalah apa yang kumpulan kami dapatan semasa melakukan kaji selidik mengenai pengurusan sumber di sekolah.
1.0
Pendahuluan
Negara
kita yang sedang pesat membangun memerlukan rakyat yang berpengetahuan tinggi
untuk maju setanding dengan negara-negara maju di dunia. Seiring dengan
perkembangan teknologi maklumat dan ilmu pengetahuan, rakyat yang mempunyai
potensi dalam segala aspek seperti aspek intelek, rohani dan jasmani juga turut
berkembang. Kualiti kehidupan rakyat dapat ditingkatkan sekiranya mereka
mempunyai pendidikan yang baik yang membolehkan mereka untuk berfikir secara
kreatif dan kritis. Pada abad ini, kerajaan sentiasa melakukan penambahbaikan
dalam sistem pendidikan kita ke arah yang lebih baik. Dalam hal ini, Pusat
Sumber Sekolah (PSS) juga tidak terkecuali. Perkembangan yang pesat ini turut
mempengaruhi pengurusan dan fungsi Pusat Sumber. Menurut idea Wawasan 2020 yang
telah dicetuskan oleh Perdana Menteri kita iaitu Tun Dr Mahathir bin Mohamad, beliau
berhasrat untuk mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang
mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja
menjadi pengguna teknologi malahan menjadi penyumbang kepada tamadun sains dan
teknologi masa depan.
2.0
Tinjauan bacaan
Pengurusan
dapat didefinisikan sebagai sebuah aktiviti merancang dan pergerakan atau
panduan oleh sesuatu organisasi berkaitan dengan segala cara, prinsip atau
peraturan, tanggungjawab serta tugas-tugas kakitangan (Mohd Zamuri, 2002). Pada
era globalisasi kini, sekolah lebih fokus dalam kaedah pendidikan berpusatkan
pelajar (student-centred learning). Menurut Kadir (1993), peranan dan sumbangan
Pusat Sumber Sekolah terhadap proses pengajaran dan pembelajaran serta
pendidikan umumnya dapat membantu para pelajar meluaskan pandangan serta
menguatkan nilai dalam diri mereka. Bagi menjayakan matlamat ini, jelaslah
bahawa sumber-sumber yang ada di sekolah perlu berada dalam keadaan yang
terbaik bagi memastikan keputusan akademik dan strategi pelaksanaan pengurusan
sumber dapat meningkatkan imej sekolah secara berterusan. Tambahan pula, pusat
sumber dianggap sebagai gedung yang menyokong ke arah kesempurnaan pengajaran
dan pembelajaran (Yusuf, 1997). Di
samping itu, pengurusan juga merupakan satu proses membahagikan segala input
organisasi yang wujud termasuk sumber ekonomi dan sumber kakitangan melalui
kaedah perancangan, pengorganisasian, pengarahan dan pengawalan supaya output
(segala barang-barang dan perkhidmatan) yang diperlukan dapat dikeluarkan oleh
pengguna bagi merealisasikan objektif organisasi (Jaafar, 1988). Pada masa yang
sama, pemantauan dan penilaian hendaklah dilakukan sentiasa supaya keberkesanan
pengurusan sumber dapat berkekalan serta tidak menjejaskan perancangan masa
depan pusat sumber sekolah. Tidak dapat dinafikan bahawa pengurusan sumber
sekolah dan keberkesanan sekolah dalam sesi P&P saling berhubung kait
antara satu sama lain kerana kedua-dua elemen ini mampu mempengaruhi prestasi
sekolah. Abdul Rahman (1993) juga mengatakan bahawa pusat sumber hendaklah
memainkan peranan sebagai ‘the nerve center of the school’ yang menggerakkan
dan mengembangkan kurikulum atau akademik serta menyuburkan pertumbuhan
intelek, disiplin dan sahsiah pelajar.
3.0
Objektif kajian
Objektif umum kajian ini dilaksanakan adalah untuk
mengenal pasti dan menganalisis kaedah pengurusan Pusat Sumber di sesebuah
sekolah. Secara ringkasnya, objektif kajian ini adalah untuk:
·
Mengenalpasti
kepentingan pusat sumber di sebuah sekolah
·
Mengetahui
keberkesanan pusat sumber sekolah sebagai pemangkin kecemerlangan pelajar
·
Mengenalpasti
peranan Pusat Sumber Sekolah dalam menanam sikap suka membaca dalam kalangan
pelajar
4.0
Kaedah kajian
Kami
telah menggunakan kaedah temubual untuk menjalankan kajian kami. Kaedah temubual
adalah penting untuk mendapatkan gambaran tentang pengurusan Pusat Sumber sekolah
tersebut. Temu bual juga dibuat bagi mendapat penjelasan lanjut tentang
perkara-perkara yang masih kurang jelas atau mengelirukan. Kami telah
menemubual seorang cikgu iaitu Cikgu B (bukan nama sebenar) yang merupakan guru
Pusat Sumber sekolah tersebut. Soalan-soalan yang telah kami sediakan adalah
soalan-soalan berbentuk berstruktur yang bermaksud satu set soalan yang telah disediakan
oleh pihak penyelidik terlebih dahulu dan soalan-soalan tersebut akan
ditanyakan mengikut urutan. Selain itu, penyelidik tidak akan menambah sebarang
soalan tambahan.
Soalan-soalan
yang disediakan:
1. Apakah fungsi pusat sumber di sesebuah
sekolah?
2.
Apakah contoh
bahan-bahan yang boleh diakses di pusat sumber sekolah?
3.
Apakah cara
penyusunan sumber secara sistematik (sistem fail)?
4.
Apakah had jangka masa bahan-bahan diarkib dan cara bahan-bahan di pusat
sumber dikemaskini?
5.
Selain daripada guru-guru dan para pelajar, siapa lagi mempunyai akses kepada
pusat sumber sekolah ini?
6.
Bagi sekolah yang tiada pusat sumber, bagaimanakah sekolah tersebut mengurus
sumber-sumber yang ada?
7.
Sekiranya berlaku kecemasan (seperti banjir atau kebakaran) yang berupaya
merosakkan bahan-bahan pusat sumber, apakah langkah kecemasan untuk mengatasi
masalah tersebut?
8.
Apakah program-program yang dianjurkan pihak sekolah untuk menggalakkan para
pelajar menggunakan pusat sumber sebaik mungkin?
9. Apakah kelebihan pusat sumber sekolah ini?
10.
Apakah harapan dan penambahbaikan yang anda harapkan untuk pusat sumber
sekolah ini?
|
Di
samping itu, kami juga menggunakan kaedah pencarian maklumat melalui internet.
Kami menggunakan kaedah ini untuk mendapatkan maklumat tambahan yang boleh
digunakan di dalam kajian kami. Melalui kaedah ini juga, kami dapat mencari
artikel-artikel yang berkaitan dengan pengurusan Pusat Sumber Sekolah (PSS) dan
menjadikannya sebagai bahan rujukan dalam menulis kajian kami. Maklumat tambahan
yang telah kami perolehi melalui kaedah ini amat membantu dalam mengukuhkan
lagi dapatan kajian kami.
Catatan
lapangan juga dilakukan melalui pemerhatian kami sepanjang kami berada di
sekolah tersebut. Kami telah mencatat segala pemerhatian kami di dalam satu
kertas untuk menjadi rujukan kajian kami.
5.0 Dapatan Kajian
Selepas melawat sekolah dan menjalankan sesi temu bual
bersama guru, data yang telah diperolehi akan dianalisis. Terdapat tiga jenis
informasi yang telah kami dapati melalui transkripsi temu bual, pencarian
maklumat melalui internet dan melalui pemerhatian.
5.1 Mengenalpasti
kepentingan pusat sumber di sesebuah sekolah
Setelah menemu ramah Cikgu B yang juga merupakan Guru
Pusat Sumber di Sekolah P tersebut, kami mendapati bahawa selain daripada
menjadi tempat bagi pelajar serta guru untuk mencari sumber rujukan dalam
bentuk buku, Pusat Sumber Sekolah (PSS) juga mempunyai banyak kepentingan dan
fungsi yang lain. Sebagai contoh, PSS dijadikan tempat untuk menyimpan banyak
jenis bahan rakaman berbentuk kaset, CD dan dll yang berunsur pendidikan.
Selain itu, fail-fail lama berkaitan program sekolah yang telah dijalankan
lebih dari sedekad yang lalu juga masih tersimpan rapi dalam sudut arkib
sebagai rujukan bagi tujuan penambahbaikan. Di dalam PSS juga, terdapat suatu
ruangan untuk menyimpan alat bantu mengajar yang diletak di dalam kotak
lutsinar dan disusun di atas rak-rak dengan pelbagai label. Cikgu B menjelaskan
bahawa guru diberi akses sepenuhnya untuk menggunakan apa-apa sahaja alat bantu
mengajar yang disediakan oleh pihak Pusat Sumber untuk tujuan pengajaran dan
pembelajaran di bilik darjah bagi menarik minat pelajar untuk belajar. Tambah
Cikgu B juga, PSS yang ada di sekolah P ini, bukan sahaja sebagai tempat
peminjaman buku, malahan berfungsi sebagai tempat pelajar belajar menggunakan
pelbagai jenis media seperti surat khabar, majalah ilmiah, komik pendidikan,
komputer dan rancangan berunsur pendidikan dalam televisyen. Pelajar dapat
mengakses maklumat dengan mudah dalam pelbagai jenis format di PSS. Cikgu B
menegaskan bahawa pada era globalisasi kini, medium pencarian maklumat serta
penambahan ilmu pengetahuan tidak terhad hanya kepada bahan bercetak sahaja,
tetapi sangat meluas. Maka dengan adanya kemudahan yang serba cukup, pelajar
secara langsung akan menikmati manfaat daripada kemudahan yang disediakan oleh
pihak sekolah. Menurut Cikgu B juga, di dalam PSS juga tersedia satu ruangan
yang dikhaskan untuk memaparkan cenderahati, sijil anugerah dan trofi-trofi
yang diperoleh pihak sekolah dan pelajar yang mewakili sekolah untuk pelbagai
jenis pertandingan, dalam erti kata lain, sebuah galeri kecil yang menunjukkan
perkembangan dan pencapaian sekolah.
5.3 Mengenalpasti peranan PSS dalam menanam sikap suka
membaca dalam kalangan murid
Apabila menyentuh tentang program yang selalu
dilaksanakan oleh pihak Pusat Sumber Sekolah setiap tahun, sudah pastinya
paling kita kenal adalah Program NILAM. NILAM membawa maksud ‘Nadi Ilmu Amalan
Membaca’. Program tersebut yang mula dilaksanakan pada tahun 1999 bertujuan
untuk menanam minat suka membaca dalam kalangan murid. Di samping itu, program
ini penting bagi menggalakkan para pelajar untuk menjana idea yang kreatif dan
baru bagi menyemai tabiat membaca dalam diri mereka sendiri. Bukan itu sahaja,
semua warga sekolah perlu terlibat dalam menjayakan program ini. Terdapat
banyak lagi program yang dianjurkan oleh pihak PSS untuk menanam sikap rajin
membaca dalam kalangan pelajar.
6.0
Perbincangan
Sepanjang
kajian mengenai pengurusan Pusat Sumber Sekolah dijalankan, terdapat beberapa
perkara yang telah dikenalpasti berdasarkan objektif yang ditetapkan. Secara
keseluruhan, setelah temu bual dijalankan bersama guru yang bertugas dalam
mengurus bahan pusat sumber di sekolah tersebut, terdapat pelbagai proses dan
kaedah yang perlu dilalui dalam mengendalikan sumber sekolah.
Dari segi aspek kepentingan, pusat
sumber membawa banyak faedah kepada guru-guru dan para pelajar dalam membantu
mereka untuk melaksanakan sesi P&P yang lebih seronok serta senang difahami
kerana sumber-sumber yang ada mampu menarik minat pelajar di dalam kelas. Setelah
menemu bual cikgu tersebut, kami mendapati bahawa kebanyakan guru di sekolah
tersebut sangat bertuah kerana mempunyai akses kepada pelbagai alat bantu
mengajar. Maka, proses pengajaran seseorang guru itu dapat berjalan dengan
lancar kerana isi pengajaran yang disampaikan dapat diikuti dengan baik oleh
murid dengan bantuan alat bantu mengajar (ABM). Hashim (1981) dan Zulkefli
(1992) pula menyatakan, perpustakaan harus diuruskan dengan cekap untuk
menggalakkan pelajar menggunakan bahan bacaan dengan berkesan. Hal ini kerana,
pelbagai jenis maklumat dan alat bantuan mengajar boleh didapati serta
penggunaan komputer amat digalakkan dalam kalangan pelajar bagi membenarkan
mereka untuk mencari bahan digital. Meskipun dengan adanya kemudahan internet
yang membolehkan pelajar untuk mencari maklumat dengan lebih pantas, namun
maklumat-maklumat yang didapati di internet tidak semuanya boleh dipercayai.
Berlainan dengan buku, sebelum sesebuah buku diterbitkan, ianya akan diolah
dengan teliti oleh pihak penerbit sebelum dipasarkan maka maklumat di dalam
buku tersebut adalah sahih dan tepat. Tambahan pula, Iskandar (2001) mengatakan
bahawa PSS harus mengadakan pelbagai program untuk menggalakkan penggunaannya. Melalui
temu bual kami dengan cikgu tersebut, beliau memberitahu bahawa banyak aktiviti
yang menarik telah dianjurkan oleh pihak sumber untuk menarik minat pelajar
untuk berkunjung ke pusat sumber sekolah. Pada pendapat kami, sekiranya pusat
sumber sekolah digunakan sepenuhnya, para pelajar bukan sahaja dapat menimba
ilmu malahan mereka juga dapat mengisi waktu lapang mereka dengan lebih
berfaedah. Hal ini akan mengelakkan pelajar daripada terlibat dalam masalah
sosial.
Selain dari segi aspek kepentingan
sesebuah Pusat Sumber terhadap sekolah, ia juga memainkan peranan yang penting
dalam meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran pelajar dan menjadi
pemangkin kepada kecemerlangan mereka. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh
Hashim (1981), didapati bahawa sebanyak 70% pelajar berkunjung ke perpustakaan
untuk membuat rujukan walaupun sebilangan daripada mereka menjadikan
perpustakaan sebagai tempat untuk menyiapkan kerja rumah. Dalam erti kata lain,
dengan adanya pusat sumber yang baik, pelajar mampu mendapatkan sumber atau
bahan yang mencukupi serta membolehkan mereka untuk mengulangkaji di ruangan
yang kondusif. Justeru, prestasi setiap pelajar di sekolah tersebut dapat
dipertingkatkan dan mencapai tahap yang terbaik.
Tidak dapat dinafikan selepas
menjalankan kajian ini bahawa Pusat Sumber Sekolah berupaya menjadi tempat
untuk pelajar memupuk minat terhadap membaca buku. Menurut pendapat Shahrom
(1996), mengenai kepentingan membaca iaitu membaca adalah satu aktiviti yang
boleh membangunkan intelektual, membentuk pemikiran yang kreatif dan dinamis
serta dapat melahirkan masyarakat yang progresif. Hal ini disebabkan oleh
wujudnya pelbagai jenis bahan bacaan yang disediakan oleh pihak sekolah ini
bagi kesenangan murid untuk membuat bacaan. Bukan itu sahaja, PSS ini menyediakan
buku-buku lain seperti kamus, majalah pendidikan dan bibliografi yang berupaya
untuk meningkatkan ilmu pengetahuan murid melalui aktiviti membaca. Pada
pandangan kami, guru memainkan peranan penting untuk membawa murid-murid ke
pusat sumber untuk memberikan peluang kepada pelajar untuk membaca. Para guru
perlu menyuruh murid untuk membuat catatan mengenai sebarang bahan bacaan sama
ada bahan bacaan berbentuk fiksyen ataupun bahan bacaan bukan fiksyen yang
telah dibaca di dalam buku NILAM. Di samping itu, penganugerahan sijil kepada
para pelajar yang sering berkunjung ke pusat sumber sekolah juga dapat
meningkatkan motivasi murid untuk membaca. Natijahnya, PSS patut berganding
rapat dengan dasar pendidikan sekolah mengikut ketetapan yang telah digariskan
oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Pustakawan dan guru PSS harus
bertanggungjawab untuk menyokong dan mengekalkan minat para pelajar terhadap
bacaan dan ini boleh dilakukan dengan memilih bahan-bahan bacaan yang sesuai
untuk mereka (Raja Abdullah, 1994).
7.0
Rumusan
Pengurusan
Pusat Sumber Sekolah yang cemerlang dapat memanfaatkan penggunaan teknologi di
dalam kelas dan meningkatkan kemampuan kakitangan sekolah secara efektif.
Selain itu, ia dapat membantu merangsang potensi semua pelajar dan meningkatkan
prestasi mereka dalam pelajaran serta menjadikan pengurusan sekolah lebih
mudah. Mengurus sumber berkualiti tinggi dengan baik juga dapat meningkatkan
semangat daya saing yang sihat di kalangan pelajar dan menggalakkan perancangan
Sesi Pembelajaran & Pengajaran (P&P) yang lebih berkesan untuk guru
kerana mereka berupaya untuk menggunakan segala sumber yang diperlukan di pusat
sumber yang disediakan di sekolah. Bukan itu sahaja, dengan adanya Pusat Sumber
Sekolah yang kondusif, pembangunan bahan pembelajaran dan penerapan penggunaan
teknologi di dalam bilik darjah boleh menyumbang kepada kejayaan sekolah
tersebut. Oleh itu, pengurusan sumber yang bagus menjadi keperluan utama di
setiap sekolah di Malaysia.
8.0
Rujukan
Raja
Rozita Raja Ariff Shah. (2013). Pengurusan pusat sumber sekolah di sekolah
menengah zon bandar Segamat, Johor
(Disertasi Tesis Sarjana). Diperoleh daripada http://www.fp.utm.my/epusatsumber/pdffail/ptkghdfwP2/Raja
Rozita Binti Raja Ariff Shah.TP.pdf
Yusof
Boon & Rohaizad Selemin. (2010). Penggunaan pusat sumber sekolah (PSS)
dalam pengajaran guru di dua sekolah
menengah kebangsaan di kawasan Skudai (Disertasi Kedoktoran. Diperoleh daripada
http://eprints.utm.my/id/eprint/10647/1/Penggunaan_Pusat_Sumber_Sekolah.pdf
Comments
Post a Comment